Penunggang maut selepas motosikal terbabas

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kepayan berhampiran kawasan Aeropod, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa lelaki berusia 31 tahun dikatakan menunggang motosikal menghala ke pusat bandar raya dari Putatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Kasim Muda berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa terbabas ke kanan jalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu terjatuh di atas jalan raya.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 70 tahun dari Kota Kinabalu menuju ke Petagas kemudian melihat objek di atas jalan terus membrek tetapi jarak yang terlalu dekat lalu terlanggar motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan penunggang motosikal yang terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan ketika kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X