Penunggang motosikal maut digilis lori tangki

LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal maut digilis lori tangki dalam kemalangan di Batu 5, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Sandakan ke Lahad Datu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki yang dipandu lelaki berusia 40 tahun.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabit tergilis di bahagian tayar lori tangki berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori tangki terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Sampel darah pemandu serta penunggang motosikal terbabit dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk ujian alkohol dan dadah.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin meminta individu yang melihat kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

“Semua pemandu di daerah ini dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X