Motosikal yang ditunggang mangsa Ryan Saunders
Oleh Kahar Ali
BELURAN: Seorang lelaki warganegara Kanada maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan di KM 24, Jalan Kota Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Mangkadait, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Ryan Saunders, berumur 40 tahun, merupakan warganegara Kanada meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati Ryan Saunders menaiki motosikal Honda Hornet 250F sedang dalam perjalanan dari arah Ranau menghala ke Telupid.

“Sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, Ryan telah menunggang dengan laju untuk memotong kenderaan yang berada di hadapannya,” kata Kasim.
“Motosikal yang ditunggang terus merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kasim berkata, pemandu kenderaan seorang warganegara Perancis berumur 55 tahun, hanya mengalami cedera ringan manakala seorang penumpang tidak mengalami kecederaan.
Setakat ini, siasatan mendapati penunggang motosikal dipandu dengan laju dan telah bertembung dengan kereta pcuan empat roda dari arah bertentangan, tambah beliau.
“Pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Beluran cuba untuk mengesan waris mangsa melalui kedutaan untuk menghadiri proses bedah siasat yang akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian dan proses menuntut mayat mangsa, kata Kasim.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ