Penunggang motosikal,pemandu kenderaan maut akibat kemalangan

PAPAR: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu sebuah kenderaan maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo, dekat Kampung Purak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu Perodua Kembara, Lidinus Jusim @ John Jusim Majanun, 75, dan penunggang motosikal Muhamad Eqzhamsyah Jinol, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.20 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Kembara dan sebuah motorsikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki .

“Terdapat dua mangsa terlibat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rozlan berkata, kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 10.32 pagi. – Info X