Penyalahgunaan dadah, empat termasuk wanita kena tahan di Papar

Polis berjaya menahan empat individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan sekitar daerah Papar semalam.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata kesemua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pekabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Hasil risikan mendapati kesemua suspek berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan polis menjalankan beberapa siri tangkapan terhadap kesemua suspek.

“Sebaik ditahan polis menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan bungkusan kecil mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu yang dimiliki dua daripada suspek,” katanya dalam laporan Utusan Borneo.

Tambahnya kesemua suspek dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian urine mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methapetamine dan amphetamine.

“Suspek berumur 20 hingga 40-an itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dengan jumlah rampasan dadah sebanyak 0.42 gram,” katanya.

Menurutnya usaha pembanterasan seumpama akan dijalankan secara berterusan bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di daerah Papar ini. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah didaerah agar memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Papar khususnya.