PENYAMBUNGAN RANAU KE SISTEM GRID SABAH

Kualiti bekalan elektrik di kawasan Ranau dan sekitarnya terus dipertingkatkan melalui Perasmian Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Lingkudau hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun bertujuan untuk memastikan bekalan tenaga elektrik mencukupi dan efisien khususnya melalui penyambungan daerah Ranau kepada sistem grid talian elektrik Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, projek tersebut yang dimulakan sejak 29 Disember 2020 telah siap dan dimula tugas pada 10 Januari tahun ini.

Katanya, langkah ini memberi anjakan baru kepada sistem bekalan tenaga elektrik di Ranau yang sebelum ini hanya bergantung kepada genset Diesel.

“Kita telah melancarkan penyambungan ranau ke sistem grid di mana projek ini adalah projek daripada kerajaan persekutuan yang melibatkan dalam RM 29 Juta.”

“ Penyambungan Ranau ke sistem grid ini akan meningkatkan kualiti bekalan elektrik di daerah berkenaan sekaligus mengurangkan penjanaan yang bergantung kepada sistem diesel genset yang akan menjimatkan kos perbelanjaan dari segi pembelian diesel.”

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui dalam majlis perasmian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Lingkudau Ranau.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Abdul Razak Abdul Majib, Pengarah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES), Ir. Ismail Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar.