Seorang lelaki sanggup terjun ke laut untuk meninggalkan rokok yang cuba diseludup selepas dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian di perairan Pulau Sisipan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, lelaki terbabit dilihat terus berenang ke kawasan hutan bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri sehingga gagal dikesan.
Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, pada awalnya, sebuah bot yang dikesan dalam keadaan mencurigakan cuba ditahan pasukan Maritim yang sedang menjalankan penugasan Op Pluto Timur.
Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran Maritim Malaysia, suspek terus bertindak memecut bot ke kawasan hutan bakau sebelum terjun ke laut dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, pasukan maritim menemui tiga kotak besar berisi rokok pelbagai jenama.
“Semua rokok yang dianggarkan bernilai RM15,290 itu dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Norrimi berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM21,790.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM5,000 atau yang mana lebih tinggi.
Sehubungan itu, Norrimi menegaskan Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan sekitar yang dikenalpasti sebagai ‘hot spots’ penyeludupan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan atau jenayah maritim boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS999. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad