Peramal perang dunia ketiga berlaku di Sabah ditahan, dipercayai ketua ajaran sesat PMYT

Wanita berusia 39 tahun digelar “Sittah Annur” yang juga ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) ditahan polis di rumahnya di Shah Alam, pagi tadi.

Wanita itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, menurut sumber dilaporkan Harian Metro.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, mengesahkan penahanan itu.

Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

Katanya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan Sittah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

“Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad.

“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.

Ajaran PMYT didedahkan akhbar itu pada 29 Ogos lalu, dengan siri laporan polis dibuat terhadap kumpulan berkenaan di seluruh negara.

Sehingga kini, 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

Wanita yang sudah berumah tangga berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Susulan pendedahan itu, selain mufti negeri, pihak berkuasa agama, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, selain tindakan penguatkuasaan antara pihak berkuasa, pihaknya juga akan berusaha selamatkan pengikut kumpulan PMYT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *