PERBANYAKKAN PAPAN TANDA DI LALUAN PEMBINAAN PAN BORNEO

KOTA KINABALU: Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar menggesa kontraktor untuk memperbanyakkan papan tanda di sepanjang laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo untuk mengelakkan kemalangan.

Beliau berkata papan tanda adalah sangat penting untuk memastikan para pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan yang masih dalam proses pembinaan.

“Selain itu polis perlu lebih kerap membuat pemantauan di kawasan jalan Lebuhraya Pan Borneo yang berisiko seperti di kawasan Kampung Kawang ini yang mana terdapat kemalangan maut berlaku di sini baru baru ini,” katanya kepada pemberita semasa meninjau jalan berkenaan, dekat sini, hari ini.

Jumaat lepas, tiga maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 22 Jalan Papar Lama -Kota Kinabalu, yang juga merupakan laluan Lebuhraya Pan Borneo yang kini dalam proses pembinaan.

Aidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis berkata sebelum melawat kawasan kemalangan berkenaan, beliau bersama dua lagi wakil rakyat yang iaitu ADUN Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Bongawan Dr. Daud Yusof telah mendengar taklimat jawatankuasa keselamatan daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ketua Polis Daerah Papar.

“Melalui taklimat itu, kami berpuas hati dengan tindakan untuk mempertingkatkan langkah keselamatan di sepanjang laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo daripada Kinarut sehingga ke Papar.

“Saya juga difahamkan laluan sepanjang 10 kilometer Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi. Keseluruhan laluan bagi pakej berkenaan adalah 15.8 kilometer dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2021,” katanya.

Beliau berharap dengan pembukaan jalan sepanjang 10 kilometer Lebuhraya Pan Borneo itu akan melancarkan lagi perjalanan, sekali gus mengurangkan kejadian kemalangan.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *