Polis Sabah, SKMM pantau isu sensitif di media sosial

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani sebarang isu sensitif yang disiarkan oleh pengguna media sosial.

Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pengguna media sosial juga diharap supaya berpada-pada dengan kandungan yang dimuat naik dalam platform media sosial masing-masing bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita faham bahawa dunia sekarang ini adalah dunia digital dan dunia maya, jadi kita mengharapkan supaya setiap ahli dalam masyarakat itu bertanggungjawab terhadap apa yang disiarkan di dalam apa-apa juga media.

“Ini kerana sekiranya pengguna itu menyiarkan sesuatu dalam media sosial tanpa mengambil kira risiko kepada ketenteraman awam, ini adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya siaran terbabit itu menyentuh isu yang boleh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ataupun boleh disiasat kerana adanya eleman jenayah, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan serta tindakan sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pertama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk tahun ini di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Jauteh menyeru kepada masyarakat supaya mengutamakan aspek
berkaitan dengan ketentraman awam dan jangan utamakan kepentingan peribadi semata-mata.

“Untuk menangani isu di media sosial yang semakin membimbangkan, PDRM akan berkerjasama dengan pihak SKMM bagi menangani isu yang ada ataupun yang akan berlaku kelak.

“Ini termasuklah semua isu dan saya nasihatkan bertanggungjawablah dan juga berintegriti dalam menyiarkan apa juga bentuk isu dalam media massa,” katanya. – Info X