225 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 225 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal, melalui Pelabuhan Tawau, semalam.

Semua Pati berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Sandakan dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan pengangkutan laut.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata semua yang dipindahkan membabitkan seramai 194 lelaki, 30 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan feri Purnama Express dan Labuan Express,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tahanan warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Tawau, semalam.

SH Sitti Saleha berkata, semua Pati ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Semua tahanan Pati ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“Pada tahun ini sehingga hari ini, seramai 391 tahanan Pati warga Indonesia direkodkan pulang ke negara asal dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 664 orang warganegara asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal.

“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan Pati oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran secara berterusan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) dan Konsulat Republik Indonesia (KRI),” katanya.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan Pati.

“Ia dijalankan selepas semua Pati melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X