Perkembangan Rundingan Isu Berbangkit MA63 perlu diketahui rakyat Sabah

SANDAKAN: Rakyat Sabah perlu mengetahui perkembangan terkini dalam rundingan isu berbangkit Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

 

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata beliau telah mengemukakan soalan itu pada sesi pemberitahuan pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang meminta Perdana Menteri untuk menyatakan perkembangan terkini dalam perundingan tersebut.

 

Dalam jawapan bertulis kepada Vivian, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, perbincangan mengenai isu-isu di bawah MA63 bersama dengan kerajaan negeri Sabah masih diteruskan sehingga hari ini.

 

Jelasnya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan sentiasa memberikan komitmen dalam meneruskan perundingan mengenai isu-isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak agar isu berkenaan dapat diselesaikan berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang sedia ada.

 

Fadillah berkata, sehingga kini, sebanyak 10 tuntutan di bawah MA63 oleh kerajaan negeri Sabah juga telah diselesaikan.

 

Katanya, sepuluh tuntutan yang selesai

sepenuhnya itu adalah penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah, pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Serta pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

 

Manakala tuntutan kelima yang selesai sepenuhnya ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di negeri Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis landuan penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan di negeri Sabah dan negeri Sarawak.

 

Serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah dan cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.

 

Selain daripada itu, Fadillah memaklumkan terdapat juga satu tuntutan di bawah MA63 yang dikategorikan selesai sebahagian/interim iaitu kajian semula pemberian khas bagi negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D.

 

Katanya, Perdana Menteri juga telah mengumumkan kenaikan kadar pemberian khas kepada negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM600 juta bermula tahun 2025 dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 di Kota Kinabalu pada 12 September 2024 yang lalu.

 

Manakala semua isu-isu di bawah MA63 yang belum diselesaikan akan terus dipantau oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 bersama dengan semua pemegang taruh (stakeholders) di peringkat Persekutuan dan juga di peringkat Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.