KOTA KINABALU: Lima ahli parlimen daripada ‘kem’ bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini, menegaskan Speaker Dewan Rakyat yang baru dilantik, Datuk Azhar Azizan Harun, bukanlah dipilih oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat kerana tiada proses pengundian diadakan.
Kenyataan bersama itu dibuat Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Menurut kenyataan itu, mereka amat kesal dengan apa yang berlaku semasa sidang Dewan Rakyat semalam bagi menggantikan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff yang diusulkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
“Tiada alasan munasabah diberi dan perbahasan pula tercemar dengan tingkah laku biadap oleh beberapa wakil rakyat yang kini menjadi wakil rakyat kerajaan.
“Mereka ini menjadi wakil rakyat kerajaan dengan melanggar amalan demokrasi negara sejak merdeka atau yang kita kenali sebagai kerajaan pintu belakang.
“Pembangkang tidak diberi masa cukup untuk membahaskan sesuatu usul yang julung-julung kali dalam sejarah Dewan Rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.
Mereka juga turut menyatakan kekesalan mereka apabila Azhar terus mengambil tempat mempengerusikan mesyuarat tanpa usul nombor tiga dalam Aturan Urusan Mesyuarat serta usul-usul semasa persidangan Dewan Rakyat dibahas dan diundi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Pembangkang juga dinafikan hak mengemukakan calon Speaker apabila notis 14 hari tidak diberikan selepas berlaku kekosongan jawatan pada 13 Julai 2020.
“Begitu juga dengan kedudukan Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Apabila beliau meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut dam bersesuaian dengan usul nombor lima Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.
“Speaker Dewan seharusnya seorang yang ‘impartial’ atau tidak berpihak dan bukan dipilih untuk memenuhi kehendak eksekutif.
“Agak pelik ahli parlimen Pagoh (Muhyiddin) tidak meneruskan pencalonan Yang Berbahagia Datuk Azhar Azizan Harun untuk pengundian oleh ahli-ahli Dewan Rakyat memandangkan pihak Perikatan Nasional telah pun mendapat undi majoriti 111 ketika usul mengosongkan jawatan Speaker,” kata kenyataan itu lagi.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius