PERLU ADA KEPUTUSAN UJIAN COVID-19 BARU BOLEH MASUK SABAH

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata individu yang ingin memasuki Sabah perlu mempunyai keputusan ujian Covid-19 yang terbaharu serta perlu melalui penilaian kesihatan di pintu masuk.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan di laman sesawang https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/kolaborasi-kkm-swasta untuk mengetahui mana-mana fasiliti swasta yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melakukan ujian Covid-19.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) banyak menerima pertanyaan berkenaan saringan ujian Covid-19 apabila memasuki Sabah. Oleh itu sekali lagi saya menegaskan bahawa keputusan ujian Covid-19 terbaharu diwajibkan sebelum dibenarkan memasuki negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Christina menasihatkan orang ramai melaporkan kematian di luar fasiliti kesihatan kepada pihak polis.

“JKNS dan pihak polis telah bersepakat dalam pengurusan kes-kes kematian seperti itu. Pejabat kesihatan daerah akan menjalankan siasatan terperinci ke atas kematian berkenaan sementara Unit Forensik Hospital akan mengambil sampel berkaitan untuk ujian Covid-19,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam kes Covid-19 di Sabah kekal 348 kes.-http://beritasabah.com