Perlu ada pembaharuan untuk lantikan pegawai awam utama, kata Bersih

Kumpulan pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa penggubalan undang-undang untuk pelantikan penjawat awam ke jawatan penting dalam badan berperlembagaan dan berkanun.

Mereka mencadangkan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelantikan dan Pemecatan Awam bagi mengawasi pelantikan pegawai tinggi dalam badan persekutuan seperti ketua audit negara, peguam cara negara, ketua setiausaha, ketua polis negara dan pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mereka berkata, pelantikan itu perlu lebih telus, bertanggungjawab, terbuka untuk penelitian awam dan berdasarkan merit.

Dalam laporan perbandingan ke atas proses pelantikan pegawai awam utama di UK, Kanada dan Amerika Syarikat, Bersih mencadangkan RUU itu patut membenarkan menteri terbabit dalam pelantikan sebuah panel penilaian penasihat bebas yang diketuai masyarakat awam untuk menemu bual dan mengesyorkan calon bagi jawatan itu.

Katanya, ia patut disusuli pelawaan terbuka dan dimaklumkan kepada orang ramai untuk memohon kekosongan itu.

“Selepas melalui proses pemilihan, panel penilaian penasihat perlu mengesyorkan sehingga tiga calon untuk kekosongan itu kepada menteri berkaitan, mengikut urutan pilihan.”

Mereka berkata, menteri boleh menerima calon itu atau merujuk perkara itu kembali kepada panel penilaian penasihat untuk pertimbangan semula.

Ia turut mencadangkan menteri mencalonkan calon disyorkan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) berkaitan, sebagai lapisan tambahan semak dan imbang terhadap proses pelantikan.

“PSC akan mempunyai kata pemutus berhubung pengesahan pelantikan pegawai awam utama.

“RUU ini perlu mewajibkan menteri melantik calon berjaya yang diluluskan PSC.

“Jika pegawai awam utama dilantik Yang di-Pertuan Agong mengikut undang-undang, menteri akan menasihatkan Agong untuk melantik calon berjaya terbabit.”

Bersih turut menyarankan RUU itu membenarkan pelantikan seorang pesuruhjaya untuk pelantikan dan pemecatan orang awam, yang ditugaskan untuk mengawasi prosedur itu bagi memastikan pematuhan oleh semua kementerian, agensi dan pihak berkepentingan lain.

Pesuruhjaya itu akan memainkan peranan dalam mengaudit proses pelantikan dan pemecatan serta menerbitkan laporan audit kepada orang ramai.

Bersih berkata, “pengaruh eksekutif luar biasa” ke atas pelantikan, pembaharuan dan pemecatan orang dalam jawatan awam yang menyebabkan penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme.

Katanya, pegawai awam tidak boleh menjalankan tugas mereka secara tidak berpihak.

“Masalah itu turut dihambat kurang ketelusan, kebertanggungjawapan dan penelitian awam seluruh proses.”

Dalam perbincangan mengenai laporan itu, Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) membangkitkan isu pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Perdana menteri memegang hak mutlak untuk melantik ketua SPRM. Pembiayaan daripada belanjawan negara dan ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.”

Katanya, faktor itu akan menimbulkan persoalan berhubung kebebasan SPRM, yang boleh terjejas “seperti yang dilihat dalam kes terdahulu seperti siasatan SPRM ke atas skandal 1MDB”.