KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar kerajaan menyediakan program sokongan dan mudah-cara kepada mereka yang ingin menceburi aktiviti keusahawanan.
Menurutnya ia perlu diberi perhatian kerana terdapat individu-individu yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19 ini tetapi mahu menceburi aktiviti keusahawanan bagi menjana pendapatan.
“Contohnya mereka yang dahulu menjadi juruterbang atau pramugari yang ingin membuka perniagaan berasaskan kulinari dan perkhidmatan berkaitan.
“Atau mereka yang dahulunya bekerja dalam bidang pengurusan hotel dan kini mahu membangunkan aplikasi digital untuk dipasarkan kepada pengguna. Atau mereka yang ingin menceburkan diri dalam perusahaan sosial atau social enterprising,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ewon menyarankan agar pejabat-pejabat Kerajaan seharusnya lebih bersifat memudahkan urusan.
“Ia bukannya membirokrasikan segmen masyarakat yang ingin menceburi bidang keusahawanan,” katanya. -https://beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ