Perodua keluarkan EV mampu milik hujung tahun 2025 – Zafrul

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dijadual mengeluarkan secara besar-besaran kenderaan elektrik (EV) mampu milik pada hujung tahun 2025.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia selaras dengan pelantikan syarikat pengeluar kenderaan itu untuk menerajui pengeluaran kenderaan elektrik mampu milik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Projek kenderaan elektrik Perodua. Perodua telah bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menghasilkan prototaip EV berkenaan.
“Terima kasih syarikat Perodua kerana membantu Malaysia dalam memajukan teknologi kenderaan elektrik dan memperkukuhkan mobiliti mampan Malaysia,” katanya dalam satu muat naik di media sosial, pada Rabu.
Pada 29 November lalu, Perodua umum menyasar kenderaan elektrik (EV) dan hibrid jenamanya menyumbang sehingga 20 peratus daripada jualan keseluruhan kereta baharu menjelang 2030.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, angka jualan itu mungkin boleh dicapai “jika semua pemain industri boleh bekerjasama.”
“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.
“Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan – 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,”