Vivian Wong beramah mesra dengan kanak-kanak yang sakit semasa lawatan ke Wad Pediatrik Hospital Duchess of Kent
SANDAKAN : Persatuan Bagi Orang Pekak Sabah Cawangan Sandakan memerlukan lebih ramai tenaga pengajar dan penjaga yang profesional.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, ini penting dalam memastikan pelatihnya yang juga kanak-kanak dan remaja istimewa ini mampu bersaing serta bersedia dalam bidang pekerjaan kelak dan dapat berdikari.
“Keperluan tenaga pengajar dan penjaga yang profesional ini penting kerana ia sekaligus mampu memberikan pendidikan yang lebih efektif kepada anak-anak istimewa kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sejurus melakukan lawatan ke premis Persatuan Orang Pekak Sabah Cawangan Sandakan, disini, pada Jumaat.
Persatuan NGO itu ketika ini mempunyai 11 pelatih kanak-kanak dan remaja yang kurang upaya pekak serta pelajar autism dan epilepsy.
Lawatan itu juga bersempena Bulan Kebangsaan dimana kanak-kanak kurang upaya dan anak yatim di Sandakan juga antara masyarakat yang tidak dilupakan dalam sama-sama menyambut bulan berkenaan.
Vivian juga menghargai usaha persatuan itu yang selama ini telah berjaya memberikan pendidikan terbaik kepada pelatihnya meskipun berhadapan kekangan berkaitan kekurangan dari segi peruntukan latihan untuk pelatih dan gaji tenaga pengajar.
Beliau berharap kerajaan juga akan terus berusaha dan memberikan bantuan kepada mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan membantu kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas mahupun kurang upaya dan golongan istimewa seperti ini termasuk untuk kawasan Sandakan.
Sementara itu, Vivian turut melawat kanak-kanak yang sakit yang dirawat di Wad Pediatrik di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan berkunjung ke Rumah Anak-Anak Yatim Al-Yakin Sandakan yang dihuni 17 orang anak yatim.
Lawatan ke wad berkenaan antara lain memberikan kata semangat dan keceriaan kepada kanak-kanak terbabit.
“Kanak-kanak walau dimana sahaja berada adalah peneraju masa hadapan kita dan kita tidak sama sekali melupakan mereka,” jelasnya.
“Dalam masa sama, kita juga menghargai doktor dan jururawat serta warga hospital ini yang berjasa dan bertugas pada musim cuti ini,” tambah beliau.
Manakala lawatan ke rumah anak yatim itu juga antara lain bertemu anak-anak yang cekal ini dan menghargai usaha pengurusan rumah itu yang menjaga anak-anak yatim ini.
“Pihak kerajaan juga akan memberi lebih banyak perhatian kerana ianya tanggungjawab kami untuk mendidik para remaja di Sandakan untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkaliber,” tambahnya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ