Persiapan akhir untuk peperiksaan SPM besok berjalan lancar

Kurang 24 jam lagi, seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan melangkah ke ‘medan perang pen dan kertas’, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula esok dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Kelainan bagi calon SPM 2020, mereka bukan sahaja hadir ke dewan peperiksaan dengan ‘berbekalkan’ pen dan pengetahuan, malah kali ini mereka perlu membawa ‘bekalan tambahan’ iaitu pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk mencegah penularan Covid-19.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan itu, persiapan akhir di 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Di Johor, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor (JBPM) Yahaya Madis berkata 288 sekolah menengah terlibat dalam peperiksaan itu telah menjalani proses sanitasi, merangkumi dewan sekolah, bilik darjah dan bilik kuarantin.

Beliau berkata proses sanitasi dilakukan sekali sepanjang peperiksaan, namun proses sama akan dilakukan sekali lagi sekiranya terdapat laporan kes Covid-19 di sekolah terlibat.

Sementara itu di Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Najmi Ahmad memberi jaminan pihak pengurusan sekolah amat menitikberatkan aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pelajar sepanjang peperiksaan itu.

Seramai 29,939 calon SPM berdaftar di negeri itu dan calon teramai antaranya adalah di daerah Sungai Petani iaitu 5,944 calon, diikuti Kota Setar (4,931); Kulim (4,138); Kubang Pasu (3,495) dan Baling seramai 2,623 calon.

Di Kelantan pula, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Izani Husin berkata bagi calon SPM yang menjalani kuarantin, mereka tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Jelasnya, mereka akan dikumpulkan pada satu masa dan tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas tamat tempoh kuarantin.

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Saadon Mokhtar berharap pelaksanaan proses sanitasi dijalankan sejak minggu lepas dapat meredakan kebimbangan pelajar, petugas serta ibu bapa mengenai soal keselamatan calon.

Di Terengganu, hanya perbualan telefon dan kiriman doa mengubat rindu ibu bapa terhadap anak mereka yang berada di asrama agar dapat menempuhi peperiksaan SPM dengan mudah dan lancar.

Bagi Nurul Husna Mohamed, 48, beliau akur dengan arahan pengurusan sekolah yang tidak membenarkan ibu bapa berjumpa anak di asrama demi keselamatan calon SPM, meskipun jauh di sudut hatinya agak terkilan tidak dapat mendakap anaknya dan memberi sokongan emosi.

“Apa yang mampu saya lakukan hanya berdoa dan berpesan kepada anak agar sentiasa tenang dan bertawakal kerana sudah berusaha sebaik mungkin selama ini, keluarga dan guru pasti mendoakan kejayaan mereka,” katanya yang kali terakhir bertemu anaknya pada 9 Jan lepas sebelum pulang ke asrama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Sementara di Negeri Sembilan, seramai 16,554 calon yang menduduki peperiksaan itu esok dinasihatkan mematuhi semua SOP yang ditetapkan termasuk menjaga jarak fizikal,membawa cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka.

Pengarah Pendidikannya, Md Fiah Md Jamin berkata guru dan pihak sekolah juga sudah membuat segala persiapan menghadapi peperiksaan dengan SOP terkini, selain sentiasa berhubung rapat dengan Pusat Kesihatan Daerah dan MKN bagi berdepan segala kemungkinan.

Di Perak, 620 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memantau 428 pusat peperiksaan dan sekolah di seluruh negeri sepanjang peperiksaan awam itu.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemantauan itu melibatkan penugasan rondaan oleh 100 unit kereta peronda polis (MPV) dan 200 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di semua daerah seluruh negeri itu bagi menjamin keselamatan calon yang hadir ke pusat peperiksaan.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pula mendoakan semua calon dapat menjawab dan tenang seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

Selain calon SPM, peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 juga berlangsung serentak esok.

Lembaga Peperiksaan sebelum ini memaklumkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *