Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik pengumuman Bajet Tahun 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan pada Jumaat lalu.
Menyifatkan Bajet 2022 sebagai komprehensif, inklusif dan berkebajikan, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur dan Sejahtera” mampu membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19 dan meletakkan Malaysia di landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi dan sosial.
“Saya yakin, Bajet 2022 yang diumumkan menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara dengan menyediakan bantuan jangka pendek dan sederhana kepada individu dan perniagaan, di samping tidak mengenepikan kepentingan pembangunan masa hadapan khususnya pemerkasaan modal insan melalui pertambahan peruntukan untuk pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)”, katanya.
Menurut Taufiq, pada Bajet 2022, kerajaan telah meningkatkan peruntukan kewangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM52.6 billion atau 16 peratus pada 2022 berbanding RM50.4 billion atau 15.6 peratus pada 2021, yang menjadikan sektor pendidikan sebagai penerima peruntukan tertinggi dalam perbelanjaan Kerajaan, selain turut memperuntukkan diperuntukkan RM14.5 billion kepada Kementerian Pengajian Tinggi berbanding RM14.4 billion pada bajet sebelumnya.

“Komitmen kerajaan terhadap pendidikan juga ditunjukkan melalui pelbagai bantuan seperti inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi yang dijangka melibatkan perbelanjaan lebih RM500 juta dan memanfaatkan seramai 600 ribu pelajar, serta insentif yang diberikan kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan bagi menyediakan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” tambahnya lagi.
Taufiq juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Peruntukan ini boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan kajian dan aktiviti yang boleh membantu memelihara dan mengembangkan lagi khazanah budaya dan warisan Sabah dan Sarawak yang semakin kurang diamalkan terutama di kalangan generasi baharu.
“Melalui Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS bersedia membantu mana-mana agensi, persatuan atau orang perseorangan dalam usaha tersebut.”, katanya.
Dari segi R&D, Taufiq berkata peruntukan lebih tinggi sebanyak RM423 juta untuk tujuan R&D yang diberikan kepada MOSTI dan KPT pada tahun ini menggambarkan sokongan kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pemodenan negara melalui inovasi dalam bidang sains dan teknologi.
“Justeru itu, UMS amat komited untuk meningkatkan inovasi di universiti yang terbukti dengan adanya sebanyak 141 projek inovasi yang sedang diusahakan di UMS sekarang,” ujar beliau.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara