PERTANDINGAN DALAI ISI PKP

TUARAN: Hasrat hati yang sudah begitu lama terpendam untuk kembali berbakti kepada masyarakat menjadi kenyataan, tetapi akan terus terserlah kala seluruh negara terarah oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saat ini.

“Saya sudah tempuhi begitu banyak pihat manis dalam kehidupan. Suatu saat tidak lama dulu, timbul impian yang teramat sangat, saya ingin berbakti kepada masyarakat. Saya terfikir, sudah tiba masanya saya menghulurkan bantuan yang terdaya.

“Kawan-kawan menyuarakan pelbagai cadangan. Akhirnya, saya menerajui penubuhan Penggerak Sosial, Seni Budaya dan Ekonomi Kiulu atau PESBUK enam tahun lalu. Banyak sudah program yang kami anjur, namun yang terbaru ini mungkin yang lebih membuat saya secara peribadi, merasa teruja,” kata Dr Rosalyn Gelunu, presiden pertubuhan bukan kerajaan itu.

Sebagai pengisian di sepanjang tempoh PKP ini, mereka menganjurkan Pertandingan Rekaan Aksesori dan Kreativiti Kraftangan Berasaskan Dalai, yang hanya terbuka kepada semua ahli Komuniti Pengusaha Dalai Sabah (PKDS).

“Dalai adalah satu tanaman dalam keluarga rumput yang tumbuh subur di sepanjang sungai Tuaran terutama di Kiulu dan sudah dijadikan manik perhiasan sejak turun-temurun oleh masyarakat Kadazandusun,” tambah Rosalyn.

Tujuan utama pertandingan itu adalah sebagai aktiviti di bawah inisiatif ‘Saling Berinspirasi dan Berimpak’ khususnya sepanjang berada di rumah kerana PKP demi memerangi wabak COVID-19. Antara syarat pertandingan ini adalah peserta mestilah terdiri daripada ahli sah KPDS dan hanya untuk yang amatur.

“Rekaan baru juga mestilah hasil idea sendiri dan proses penghasilan video juga mestilah jelas serta terperici. Keaslian dalai juga harus ada; hanya lima peratus bahan lain selain dalai dibenarkan sebagai pelengkap,” terang Rosalyn.

“Peserta boleh menghantar rekaan atau kreativiti, ataupun kedua-duanya sekali dan tarikh tutup menghantar video rakaman proses pembuatan ialah pada 13 April. Penjurian akan dilaksanakan secara atas talian (online) menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial,” tambahnya lagi.

Sepuluh ciptaan terbaik akan disenarai pendek serta diumumkan pada 19 April, dan mereka wajib menghantar hasil ciptaan mereka kepada penganjur dalam tempoh seminggu selepas diumumkan. Hadiah pemenang akan disampaikan dalam satu majlis yang akan dimaklumkan kelak.

Keterangan lanjut mengenai KPDS dan pertandingan itu bolehlah diperolehi daripada pihak PESBUK menerusi emel pesbuksabah@gmail.com/kdlcborneo@gmail.com atau menerusi whatsapp di nombor 0193505957.

Rosalyn berkata: “Saya teruja kerana pertandingan sebegini adalah yang pertama kami anjur, dan yang lebih mencabar, kami mengubah suai mod kepada melalui alam maya atau online. Selain memastikan ahli PKDS terus aktif serta kreatif meskipun hanya duduk dikediaman masing-masing, kami berharap pertandingan ini boleh membantu hasrat Kerajaan memutuskan rantaian penularan virus corona. Kita duduk di rumah, kita berkreatif.”

Sementara itu, ketika diminta menceritakan sedikit sejarah penubuhan PESBUK, Rosalyn berkata NGO itu secara rasmi telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2014 dan matlamat utama adalah untuk membangunkan sosial, seni budaya, serta ekonomi masyarakat terutama di Kiulu dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta serta NGO.

Sejak 2018 PESBUK telah melebarkan sayap dengan membuka keahlian Bersekutu kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan permintaan yang banyak daripada pihak luar daripada Kiulu.

“Demi membantu membangunkan ekonomi masyarakat, bermula tahun lalu, PESBUK telah bekerjasama dengan Kadazandusun Language and Cultural Centre (KDLC) untuk menyelaraskan keusahawanan sosial terutama bagi penduduk luar bandar.

“Produk yang diangkat sebagai produk pula adalah dalai dan secara langsung kita menyokong kempen pelestarian alam dengan tidak menggunakan plastik. Susulan itu juga, KPDS telah ditubuhkan secara rasmi pada Disember 2019 di bawah PESBUK dan KDLC. Kami mahu dalai menembusi pasaran kraftangan nasional dan antarabangsa,” katanya lagi.

Rosalyn berkata, antara program yang telah dilaksanakan bagi tahun 2020 ini adalah siri taklimat berkaitan KPDS yang dilaksanakan di Tuaran – Kota Kinabalu pada 19 Februari, Keningau (7 Mac), dan Kiulu (10 Mac). Selain itu, bagi mematuhi PKP, taklimat secara online juga telah dilaksanakan pada 26 Mac.

Taklimat dan dialog dalai Sabah ini perlu diadakan sebagai medium penerangan dari PESBUK kepada bakal pengusaha dalai secara bersemuka dan kini secara online, supaya matlamat penubuhan KPDS difahami, dipatuhi dan dipertanggungjawabkan secara bersama-sama.

“Objektif KPDS ialah untuk menjadi sebuah ‘Social Entrepreneur’ yang sukses … selepas PKP ini, rasanya pengalaman kita sejak 18 Mac lalu sudah memberikan kita pengajaran mengenai masa depan keusahawanan. Kita mahu KPDS menerajui industri dalai secara komprehensif termasuklah andai kita hanya beroperasi di kediaman masing-masing,” kata Rosalyn penuh yakin./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *