Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil usaha untuk mengurangkan impak banjir dan hakisan tebing sungai melalui pelaksanaan beberapa projek di Parlimen Tuaran.
Menurut PETRA, sebanyak RM2.03 juta telah disalurkan untuk melaksanakan 11 projek sebagai penyelesaian jangka pendek di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Kementerian itu memberitahu, sehingga kini, sembilan kerja telah siap sepenuhnya dan baki dua kerja dijangka siap pada penghujung tahun 2024.
PETRA menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau [UPKO – Tuaran ] pada sesi Soalan Lisan dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.
Terdahulu Madius dalam soalannya meminta menteri PETRA menyatakan usaha-usaha bagi mencegah banjir dan hakisan sungai dan tanah di kawasan Parlimen Tuaran beserta langkah-langkah bagi memastikan penduduk mempunyai kesedaran dan terlibat dalam penanaman pokok-pokok.
PETRA menjelaskan, bagi tujuan penyelesaian banjir jangka masa panjang, sebanyak tiga projek telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah RMKe-12.
“Yang pertama adalah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Tangulan, Tuaran dengan kos sebanyak RM81.2 juta.
“Seterusnya adalah Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu dengan kos sebanyak RM2.08 juta.
“Manakala yang ketiga adalah Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran Sepanjang Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu, Tuaran dengan kos sebanyak RM9.8 juta.”
Kementerian itu memaklumkan, sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan kelestarian sungai sebagai sumber air di Parlimen Tuaran, JPS turut melaksanakan pendekatan bukan struktur.
“Pendekatan ini dilaksanakan melalui kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management – IRBM) bermula pada Ogos 2023 dan dijangka siap pada Februari 2025,” jelas PETRA.
More Stories
Remaja ditemui tergantung di tiang besi
DBKK sita barangan penjaja, gagal kemuka lesen sah
Guna dokumen palsu kemuka tuntutan, pengarah operasi institut latihan didenda RM60,000