KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak petrol dan pelbagai produk kecantikan bernilai RM177,000, kelmarin.
Rampasan menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi – Op Taring Dosej di dua lokasi berasingan di Semporna itu turut menahan dua individu.
Operasi itu dilakukan Cawangan Risikan/Task Force Batalion 22 PGA Kunak dengan dibantu Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Mesra, Semporna.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar tong berisi bahan api disyaki petrol. Pemeriksaan lanjut di belakang premis itu turut menemui sebuah bot kayu yang penuh dengan muatan petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Seorang lelaki warga asing telah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ini. Rampasan bernilai RM52,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kes diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Suspek yang ditahan itu mengaku terbabit dalam aktiviti penyeludupan petrol sejak 2023,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata serbuan kedua menahan seorang wanita bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 11 kotak berisi pelbagai produk kecantikan tanpa cukai dan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan produk berjumlah RM125,000. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku barangan itu diperoleh dari negara jiran dan telah terbabit dalam aktiviti pembekalan produk kosmetik sejak 2024.
“Operasi ini menunjukkan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan.
“PGA akan terus mempergiatkan risikan dan operasi seumpamanya demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?