KOTA KINABALU: Usaha berterusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah membanteras jenayah dan penyeludupan barang bersubsidi membuahkan hasil apabila berjaya merampas lebih RM224.8 juta barangan dan menahan 487 individu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Rampasan dan tangkapan itu adalah hasil pelaksanaan operasi bersepadu yang dijalankan sejak 1 Januari hingga 30 Jun 2025, membabitkan pelbagai siri operasi seperti Op Taring ESSZONE/Daratan, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (E-Waste) dan pemeriksaan sekatan jalan raya (RCP).
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Abdul Rani Alias berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua batalion termasuk BN14 Tawau, BN15 Sandakan, BN16 Kota Kinabalu, BN17 Lahad Datu, BN20 Beluran, BN21 Keningau dan BN22 Kunak bersama agensi penguat kuasa lain.
“Sebanyak 268 serbuan telah dilakukan dalam tempoh enam bulan, membabitkan tangkapan warga tempatan dan asing.
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, seramai 282 individu warga asing termasuk dari Filipina, Indonesia, China, Pakistan dan India ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau lagi, dalam siri operasi itu, pelbagai barangan disita termasuk kenderaan, makanan sejuk beku, minuman keras, rokok seludup, senjata api, barangan e-waste, dan minyak sawit mentah (CPO).
“Antara rampasan tertinggi yang dicatatkan iaitu kenderaan dengan jumlah rampasan RM40.8 juta, rokok seludup (RM40.6 juta), barangan e-waste (RM48.8 juta), senjata api dan mercun (RM20.3 juta) dan makanan sejuk beku (RM13.1 juta), CPO (RM1.9 juta), petro dan diesel (RM361,253).
“Operasi juga berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok, diesel, petrol, ayam dan daging sejuk beku tanpa pensijilan halal serta rangkaian pengedaran CPO di kawasan pantai barat dan timur Sabah,” katanya.
Menurutnya, kejayaan berkenaan turut didokong oleh risikan PGA Briged Sabah dengan kerjasama rapat pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan beberapa agensi lain.
“Polis melalui PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab serta profesional demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis juga mengharapkan orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menghulurkan segala jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing.
“Ini bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya. – Info X

More Stories
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya