Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas sembilan kontena berisi rokok, minuman keras dan mercun yang disyaki di seludup dalam operasi di kawasan Towering, Penampang, semalam.
Dalam operasi jam 6.30 petang itu, pasukan PGA melakukan pemantauan selama empat jam sebelum menyerbu masuk ke bangunan rumah kedai berkenaan dan menahan empat individu.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan, tangkapan membabitkan seorang wanita, 39 tahun, bersama tiga lelaki berusia 18 hingga 28 tahun yang dipercayai pekerja sindiket berkenaan.
Katanya, pemeriksaan di bangunan rumah kedai berkenaan kemudiannya membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras yang disyaki diseludup masuk.
“Hasil soal siasat, keempat-empat tangkapan kemudiannya menunjuk arah kepada sembilan lori yang dijadikan tempat penyimpanan rokok, mercun dan pelbagai jenis minuman keras untuk diedarkan di kawasan Penampang.
“Semua individu terbabit bersama barangan rampasan kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Mohd Abduh berkata, individu yang ditahan membabitkan seorang wanita tempatan bersama tiga lelaki warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, rampasan membabitkan pelbagai jenis rokok bernilai RM1.15 juta, RM950,000 minuman keras dan mercun dianggarkan bernilai RM15,800.
“Selain itu, nilai kenderaan yang dirampas pula dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM2.9 juta,” katanya.
Mohd Abduh berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen. – ASIA TIMES

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ