KOTA KINABALU, 28 April – Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara berkenaan Badan Kehakiman dalam negara baru-baru ini.
Menurut Majlis Presiden PH, pihak mereka bersetuju dengan kenyataan Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman sejak kebelakangan ini agak keterlaluan.
Memetik Perkara 4.1 di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, PH mengingatkan bahawa ianya dengan jelas menyatakan Kerajaan Persekutuan perlu memastikan “terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman”.
“Amatlah jelas, Badan Kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai dan diyakini rakyat.
“Oleh itu, kami menggesa agar Kerajaan Persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan Badan Kehakiman,” jelas kenyataan tersebut yang disiarkan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Madius Tangau.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026