Piala FA: Tonggak utama Sabah masih cedera

KOTA KINABALU: Sabah FC berkemungkinan terpaksa berdepan KL Rovers FC tanpa beberapa tonggak utamanya pada perlawanan Pusingan 16, Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Antaranya penyerang Darren Lok dan pemain pertahanan tengah, Gabriel Peres yang disahkan masih mengalami kecederaan selepas beberapa perlawanan Liga Super.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata pihaknya akan melihat tahap kecergasan kedua-dua pemain itu pada hari ini sebelum membuat keputusan untuk memberikan peluang kepada pemain lain bagi mengisi kekosongan ditinggalkan mereka.

Katanya, ketiadaan mereka membuka peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan keupayaan dan prestasi masing-masing dalam membantu pasukan dapat mara ke peringkat seterusnya.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

“Kita mahu semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa, di samping dapat menunjukkan kualiti dan mutu permainan membanggakan sekali gus memastikan prestasi semasa mereka dapat dipertingkatkan ketika perlawanan sedang berlangsung.

“Jika gagal menunjukkan prestasi yang baik kemungkinan besar mereka akan ketinggalan dengan pemain-pemain lain, berikutan terdapat beberapa kekosongan posisi ditinggalkan pemain utama.

“Saya juga akan meneliti beberapa posisi yang lain untuk diisi segera, sekiranya kecederaan beberapa pemain utama masih berpanjangan bagi meneruskan perjuangan kita dalam saingan Liga Super,” katanya mengulas persiapan menghadapi Piala FA musim ini.

Kim Swee berkata, perlawanan menentang KL Rovers esok adalah yang pertama selepas pasukan bimbingannya kembali dari Jakarta menyertai Kejohanan RCTI Premium Sports dengan berjaya menamatkan aksi di tempat ketiga.

“Kita memberikan tumpuan lebih kepada perlawanan Piala FA. Ini kerana ia adalah satu pertandingan cukup penting bagi Sabah FC dan kita berharap mampu memperoleh keputusan positif pada malam esok.

“Sabah FC akan meneruskan momentum untuk memberikan peluang kepada pemain yang beraksi di Jakarta tempoh hari untuk diturunkan namun bergantung kepada situasi perlawanan,” katanya.

Kim Swee berkata, beliau akan menentukan siapa yang bakal diturunkan atau diletakkan di bangku simpanan, bergantung kepada keadaan permainan ketika perlawanan sedang berlangsung malam esok. – Info X