PENAMPANG: Kesedaran orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Penampang semakin menunjukkan perkembangan positif.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ia berdasarkan jumlah kenderaan keluar masuk yang agak minimum ketika operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan, di hari kelima, hari ini.
“Bagi premis-premis di Penampang, pematuhan setakat ini sudah mencapai 95 peratus dengan rata-ratanya memahami konsep pelaksaan PKP bagi menangani penularan Covid-19.
“Alhamdulillah kita boleh jangkakan sehingga 95 peratus premis-premis yang dibenarkan dibuka ini beroperasi mengikut masa yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui dalam Operasi SJR di Jalan Penampang Bypass, di sini, hari ini.
Mohd Haris berkata, SJR khususnya di daerah ini juga terus diperketatkan dengan bantuan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula hari ini.
Dalam operasi hari ini, katanya, polis dibantu oleh anggota ATM dari Kem Lok Kawi dalam pelaksanaan penugasan SJR dan juga pemantauan premis-premis di daerah ini.
“Dengan kekuatan yang kita terima ini, kita merancang penugasan yang mana untuk Penampang kita ada empat lokasi SJR iaitu laluan Lok Kawi-Putatan, Putatan-Kota Kinabalu, Jalan Penampang Bypass dan Jalan Bundusan.
“Setiap SJR, kita menempatkan seramai dua anggota tentera untuk bertugas bersama-sama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita bergabung tenaga bagi memastikan kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di daerah ini untuk mereka mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang bermula 18 Mac lalu,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ