PKPB: 558 INDIVIDU DIKOMPAUN LANGGAR SOP DI KOTA KINABALU

KOTA KINABALU: Seramai 558 individu dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 13 Oktober lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka dan tidak menuruti Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti berkumpul.

Katanya itu menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dikenakan kompaun adalah seramai 812 individu.

“Semua kesalahan itu dikesan dalam operasi pemantauan oleh pasukan khas yang ditubuhkan membabitkan pegawai dan anggota di semua seluruh kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

“Kebanyakan tindakan kompaun ini dijalankan di pusat yang menyalahguna lesen sebagai ‘kafe’ memandangkan operasi pusat hiburan masih tidak dibenarkan.

“Tindakan kompaun ini akan diteruskan sebagai memperlihatkan ketegasan PDRM dalam melaksanakan penguatkuasaan PKPB di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Akhir Tahun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pemantauan dan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang perlaksanaan PKPB.