Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah mulai esok hingga 28 Mac ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 19 kes positif direkodkan selepas 102 orang disaring setakat 12 Mac lalu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ismail berkata, PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang ditamatkan hari ini, lebih awal daripada 19 Mac yang dijadualkan.
Ini kerana, katanya, KKM mengesahkan semua keputusan sampel kedua untuk 76 kontak rapat adalah negatif dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.
Beliau berkata, empat kes positif dikesan hasil saringan ke atas 80 orang.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 337 orang ditahan mengingkari SOP semalam, dengan 289 daripadanya dikompaun dan 48 lagi direman.
Antara kesalahan itu ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (109), aktiviti pusat hiburan (72), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (55), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (42), tidak memakai pelitup muka (41) dan lain-lain (18).
Beliau berkata, tujuh pendatang asing tanpa izin ditahan dan dua kenderaan dirampas dalam Operasi Benteng semalam.
Katanya, seramai 2,909 pekerja asing disaring dan lapan disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata, seramai 615,980 pekerja asing disaring setakat ini, dengan 9,699 daripadanya didapati positif Covid-19 dan 606,281 lagi negatif.
Ismail berkata, 802 orang pulang ke tanah air semalam dan menjalani kuarantin wajib di 80 hotel, sembilan institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.
Sejak 24 Julai 2020, katanya, seramai 143,918 individu pulang ke tanah air, dengan 7,015 orang dikuarantin, 135,883 orang dibenarkan pulang dan 1,020 lagi dibawa ke hospital.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ