PKPD dua kampung di Nabawan kena sambung lagi

Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan di Sabah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sebelum ini disambung 14 hari lagi bermula 13 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan melanjutkan PKPD dibuat susulan masih terdapat jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 674 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 81 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan terdapat sejumlah 322 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih terdapat kes positif baru dilaporkan dalam kalangan penduduk di lokaliti ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata PKPD di penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu Sarawak akan ditamatkan bermula esok seperti dijadualkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 242 individu ditahan kerana mengingkari SOP semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 240 dikompaun dan dua lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (88), tidak memakai pelitup muka (66), tiada penjarakan fizikal (46), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (33), aktiviti pusat hiburan (6), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (2) dan ingkar arahan PKPD (1).”