KOTA KINABALU, 24 Mac – Bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak terus-menerus membela syarikat Sapura Energy Berhad, sedangkan masih banyak lagi syarikat terjejas terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tetapi tidak disentuh oleh Ahli Parlimen Pekan itu.
Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung berkata, Sapura bukanlah sebuah syarikat berprestasi cemerlang yang perlu diselamatkan sebagaimana diperkatakan Najib.
“Syarikat lain yang lebih berdaya termasuk Petronas bolehlah membeli dan mengambil alih aset tersebut jika didapati bersesuaian. Mengapa Najib sibuk membela sebuah syarikat sahaja sedangkan ribuan PKS dalam kesusahan?
“Rakyat perlu tahu bahawa kerugian yang dialami Sapura dari Oktober 2021 hingga Januari 2022 mencecah RM6.6 bilion dan kerugian terkumpul setahun adalah sebanyak RM8.9 bilion manakala hutang jangka masa pendek sudah mencecah RM16 bilion.
“Kita sedia maklum harga minyak sudah mencecah AS$ 100 setong sekarang dan kebanyakan syarikat yang berkaitan minyak dan gas sudah mula mencatat keuntungan. Namun, bukannya Sapura.
“Apa yang Najib tidak ingin rakyat tahu adalah walaupun pengasas Sapura, Shahril Shamsuddin yang telah bersara pada tahun 2020, pernah mengambil gaji besar sebanyak RM72 juta pada tahun 2017 dan RM82 juta pada tahun 2018, namun sehingga sekarang masih banyak hala tuju pengurusan Sapura terikat dengan keputusan terdahulu (di bawah Shahril),” katanya.
Selain itu, Chean Chung inginkan penjelasan mengenai dakwaan portal perniagaan the edge markets.com bahawa Sapura masih membayar royalti sebanyak RM10 juta setahun kepada pihak tertentu atas kegunaan nama “Sapura”.
“Jika kelemahan itu diambil kira maka sangatlah tidak wajar sekiranya dana awam digunakan untuk memberi pinjaman mudah kepada syarikat tersebut bagi menyelamatkannya.
“Saya juga menolak dakwaan Najib bahawa Sapura menerima banyak Pelaburan dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan akan menjejaskan dana amanah tersebut seandainya syarikat berkenaan muflis.
“Sebenarnya peratusan pelaburan PNB tidak lebih 1 peratus daripada jumlah pelaburannya. Kegagalan Sapura tidak akan menenggelamkan pemilik unit ASB seperti yang cuba ditakut-takutkan oleh Najib.
“Selain Sapura, PNB turut melabur kepada syarikat-syarikat besar lain seperti Velesto Energy, Duopharma Biotech, MNRB Holdings dan lain-lain. Adakah kesemua syarikat ini perlu diselamatkan dengan duit rakyat atas kesalahan pengurusan?
“Apa yang Najib tidak ingin rakyat tahu adalah, jika Sapura terpaksa ditutup, akta-akta pekerja dan syarikat yang sedia ada akan melindungi pekerja dan pembekal-pembekal mereka.
Tegas Chean Chung lagi, penyelamatan syarikat seperti Sapura hanya menguntungkan segelintir kecil orang dan pelobi mereka tetapi akan merugikan rakyat.
More Stories
Polis Sabah, SKMM pantau isu sensitif di media sosial
SMJE jual minyak mentah pertama 2025 bernilai RM100 juta
6 kompaun dikeluarkan kepada penjaja ingkar arahan di Pasar KK