PMU Mengalong Bakal Terima Lebih 400MW Penjanaan Baharu

KOTA KINABALU: Pencawang Masuk Utama (PMU) Mengalong di Sipitang bakal menerima kemasukan lebih 400 megawatt (MW) penjanaan tenaga elektrik baharu pada masa akan datang.

Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, PMU yang telah siap sepenuhnya itu dilengkapi dengan menara talian penghantaran berkapasiti 275 kilovolt (kV).

“PMU ini akan menerima bekalan tenaga berkapasiti 30MW dan kemudian 100MW daripada Sarawak setelah sambungan grid dari negeri itu ke grid Sabah disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke fasiliti tersebut pada Rabu lalu.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, dua lagi sumber penjanaan tenaga utama yang akan disalurkan ke PMU Mengalong ialah Empangan Upper Padas dengan kapasiti 187MW dan projek Run Off River Jentayu berkapasiti 162MW.

“Inilah yang saya maksudkan bahawa lebih 400MW penjanaan baru akan masuk di PMU Mengalong nanti,” katanya.

Dalam pada itu katanya,pembinaan grid penghantaran 275kV sepanjang 60 kilometer dari PMU Mengalong ke Upper Padas, yang merupakan Fasa Pertama pembangunan Southern Grid, kini berada di peringkat akhir untuk ditawarkan kepada kontraktor.

“Dengan pembangunan infrastruktur ini, Sipitang dijangka menjadi hab pengagihan penjanaan elektrik utama di wilayah selatan Sabah,” katanya.