Polis : Kebakaran di Kalansanan bukan sengaja dimulakan

KOTA KINABALU: Kebakaran 26 rumah setinggan berhampiran Kampung Kalanansan, Inanam, di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada litar pintas dan bukan sengaja dimulakan anggota operasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kebakaran itu langsung tiada kena mengena dengan kawasan operasi dilaksanakan.

Malah katanya, kawasan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah dan jenayah itu dijalankan lebih 50 meter dari lokasi kebakaran.

“Sebenarnya kawasan kebakaran ini bukanlah kawasan operasi kita. Malah anggota polis masuk dari belakang, tidak terbabit langsung dengan kawasan sini.

“Video yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali yang mengatakan pihak polis memulakan kebakaran ini adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang tadi.

Kasim berkata, beliau sendiri berjumpa dengan penduduk bagi menerangkan kepada mereka bahawa polis bukan datang untuk membakar rumah mereka.

Kasim ketika ditemui media selepas membuat pemeriksaan di lokasi kebakaran rumah di kawasan setinggan bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu.

“Sebaik menyedari kejadian, pihak polis juga yang memanggil pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan untuk mengelak api terus merebak.

“Memang tidak logik kita nak membakar kawasan ini, bukan pihak berkuasa saja malah kerajaan negeri juga tidak sekejam mana untuk membakar rumah-rumah ini.

“Tidak pernah dalam sejarah berlaku yang kita membakar rumah yang dimiliki sama ada bukan warga tempatan atau tempatan berada di negara ini,” tegasnya.

Sementara itu, berhubung punca kebakaran, Kasim berkata, polis masih menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.

Bagaimanapun katanya, besar kemungkinan kebakaran itu dipercayai disebabkan oleh litar pintas ekoran berlakunya penyambungan tidak sah di kawasan berkenaan.

“Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga sudah memotong tiga sambungan haram bagi mencegah kebakaran merebak,” katanya. – Info X