POLIS LAHAD DATU TINGKATKAN PENGUATKUASAAN PKP

LAHAD DATU: Susulan daerah ini telah dikategorikan sebagai zon merah kes Covid-19, Polis Lahad Datu akan mempertingkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama di kawasan Felda, bermula esok.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, setakat ini pihaknya sudah membuka enam kertas siasatan atas kesalahan melanggar PKP dan menahan 11 individu.

Katanya, semua yang ditahan adalah lelaki berusia 15 hingga 44 membabitkan lima rakyat tempatan dan enam warga asing.

“Semua yang ditahan masih direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kesalahan yang dilakukan adalah mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020,” katanya menerusi kenyataan media, sebentar tadi.

Nasri berkata, setakat ini jumlah keseluruhan kes Positif Covid-19 di kawasan Felda adalah sebanyak 11 kes.

Katanya, tiada sebarang pergerakan keluar atau masuk akan dibenarkan di kawasan Felda ini sehingga penyaringan dan penyahkuman dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Ini kerana tiga individu yang disahkan positif di daerah ini adalah penduduk kawasan peneroka Felda. Kita juga percaya, mereka ada kontak rapat dan membuat pergerakan sekitar Felda.

“Selain itu, aktiviti ladang dan kilang juga akan dihentikan manakala operasi pasaraya, kedai makan dan pasar awam juga akan dihadkan,” katanya.

Nasri berkata, satu sistem penggiliran akan diwujudkan semasa pembelian dan penghantaran barang-barang keperluan di kawasan Felda.

Sehubungan itu, Nasri menasihati masyarakat Felda supaya terus memberi kerjasama dan berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.

“Sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu, saya dan jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menafikan Kawasan Felda akan diisytiharkan sebagai kawasan ‘lockdown 100%’ seperti yang tular di aplikasi WhatsApp.

“Pihak polis cuma mengambil tindakan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap PKP di kawasan Felda,” katanya./BERITA SABAH