Anggota penguatkuasa memeriksa sebuah bot nelayan semasa operasi bersepadu di Sandakan
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Sandakan telah bertindak melakukan pemeriksaan bot-bot di kawasan perairan di sini dalam operasi bersepadu dari Julai 11 hingga 13.
Sebanyak dua buah bot digerakkan dengan kekuatan seorang pegawai dan 16 anggota PPM termasuk 4 pegawai Jabatan Perikanan Sandakan. Objektif operasi ini adalah membuat pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di laut dan penjualan hasil dari aktiviti bom ikan.
Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali dalam satu kenyataan berkata, operasi dijalankan selama tiga hari bagi tujuan memeriksa permit dan lesen perikanan di kawasan pasar bagi memantau dan mengesan aktiviti penjualan ikan hasil dari bom ikan.
Menurutnya lagi, pada hari pertama pemantauan dilakukan sehingga di kawasan perairan Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan. Bagi memastikan tiada penjualan hasil laut dari aktiviti bom ikan, pemeriksaan turut dijalankan di premis-premis penjualan di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan. Pihak PPM akan terus menjalankan pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di kawasan perairan Sandakan dengan kerjasama yang erat dari Jabatan Perikanan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ