POLIS MARIN DAN TAMAN TAMAN SABAH LAKSANAKAN OPERASI BERSEPADU

Anggota polis marin dan Taman-Taman Sabah sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot pelancong

Oleh Faizal Rahman

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin Semporna telah melaksanakan “Operasi Bersepadu” bersama Taman Taman Sabah di perairan Kawasan Perlindungan Taman Tun Sakaran kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri berkata, ‘Operasi ini dilaksanakan oleh dua Pegawai dan 8 anggota Pasukan Polis Marin Semporba bersama 14 Ranger Taman Taman Sabah.

Antara objektif operasi kali ini adalah bagi mengesan aktiviti – aktiviti pengeboman ikan dan aktiviti memancing ikan di perairan Kawasan Perlindungan Taman Tun Sakaran serta pemeriksaan lesen bot , permit dan dokumen ke atas bot pelancong yang menjalankan aktiviti di dalam Kawasan Perlindungan Taman Tun Sakaran, katanya.

Selain itu menguatkuasakan larangan ke atas bot pelancong untuk menjalankan aktiviti di sekitar Kawasan Perairan Pulau Tatagan Dan Pulau Maiga, kata beliau.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan sebanyak 52 bot pelancong dan 5 buah bot nelayan telah diperiksa dan 16 buah darinya didapati telah melakukan perlanggaran dan kesalahan dibawah Enakmen Taman 1984 (Pindaan 2007) dan dikenalpasti antaranya terdapat syarikat pelancongan yang gagal menyenaraikan butiran pelancong dalam permit Taman Taman Sabah,” kata Mohamad Pajeri.

Selain itu terdapat aktiviti memancing ikan yang dilakukan oleh krew bot pelancongan di dalam perairan Kawasan Perlindungan Taman Tun Sakaran yang dilindungi dan dikawal oleh Ranger Taman Taman Sabah. Tindakan diambil dengan mengenakan  Kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan oleh Pegawai Taman Taman Sabah. Nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM48,000, tambah beliau lagi

“Op Bersepadu” akan diteruskan lagi bersama Taman Taman Sabah dan juga beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan di Zon Merah iaitu *Zon Kawasan Perlindungan Taman Tun Sakaran* serta kesalahan yang melanggari undang-undang sedia ada yang berkuatkuasa juga undang -undang maritim, kata Mohamad Pajeri.