Polis Minta Orang Awam Tampil Bantu Siasatan Susulan Insiden 2 beranak maut di Kolam

TAWAU: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seorang wanita bersama anaknya yang berusia tujuh tahun ditemukan maut di dalam sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Nasib Kita, untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam selepas Penduduk kampung menjumpai dua beranak termasuk ibu dalam lingkungan umur 40-an itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada kes itu membabitkan unsur jenayah atau tidak.

“Selepas keputusan diperoleh, pihak polis akan mengklasifikasikan kes itu sama ada sebagai mati mengejut (SDR) atau kes bunuh,” katanya

Terdahulu, dua rakaman video masing-masing berdurasi 25 saat dan 37 saat berkait kejadian itu turut  tular dalam media sosial.