Polis siasat kes pecah cermin, curi bateri kereta di Kampung Desa Bajau

LAHAD DATU: Polis menerima sembilan laporan kejadian pecah cermin dan curi bateri di Kampung Desa Bajau, Jalan Tengah Nipah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian itu disedari pemilik kenderaan sebelum membuat laporan polis, kira-kira jam 5 petang.

Katanya, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati sebanyak 11 kereta yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Semua kes itu berlaku di kawasan sama iaitu di kawasan parkir bebas di kampung berkenaan.

“Siasatan mendapati, beberapa bahagian cermin kereta dipecahkan dam bateri kereta dicuri oleh suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A (2) Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Dzulbaharin memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Martin Motuin menerusi talian 016-8392694 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial yang melaporkan 20 kereta dipecahkan.

Bagaimanapun, polis mengesahkan hanya 11 kereta terlibat dan sembilan laporan polis diterima. – Info X