Polis tahan tujuh pengedar dadah termasuk dua wanita di Kota Marudu

Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Kota Marudu dalam tempoh enam hari sejak awal bulan sehingga 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata kesemua suspek berumur 24 hingga 53 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

“Serbuan pertama dijalankan di sebuah kedai mencuci kereta dan menahan tiga lelaki tempatan. 

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan beberapa paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 5.63 gram yang dimiliki ketiga-tiga suspek.

“Suspek ketiga turut menunjukkan tempat penyimpanan berasingan di sebuah bilik rehat dalam almari kain milik suspek dan hasil pemeriksaan menemukan satu lagi kotak kecil mengandungi paket plastik lutsinar mengandungi 7.12 gram syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya dalam serbuan berasingan pasukan serbuan sekali lagi menahan tiga suspek termasuk seorang wanita berumur 24 hingga 32 tahun semasa memeriksa sebuah kenderaan mencurigakan kira-kira jam 6 petang pada 6 September lalu di simpang Jalan Langkon- Pitas di sini.

“Semasa diperiksa pasukan polis berjaya menemukan lima paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 31.3 gram yang disembunyikan di bawah alas kaki di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya.

Beliau berkata hasil ujian urine juga menunjukkan ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), 39A(1)ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a)ADB 1952.

“Bagi serbuan pertama, kesemua suspek  direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 9 September depan manakala kesemua suspek bagi serbuan kedua direman sehingga 13 September depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Bahagian Sisatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Kota Marudu dengan kejayaan tangkapan dadah di daerah ini. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *