KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Penggunaan Polisterin dan Penyedut Minuman Plastik berkuat kuasa mulai 1 Oktober depan.
Menerusi satu kenyataan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, kempen berkenaan akan dilancarkan pada 29 Jun ini ketika Kempen Kesedaran My City, My Responsibility sempena Sambutan Hari Alam Sekitar.
Katanya, pelaksanaan kempen itu selari dengan usaha sedia ada seperti Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik, selain menyokong dasar kerajaan negeri melalui Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kempen ini menyasarkan penglibatan pengusaha premis makanan dan restoran, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), kedai runcit yang menjual minuman dalam tin, kafe dan kantin sekolah.
“Turut terbabit ialah perkhidmatan katering berdaftar dengan DBKK serta penjaja, pasar dan tamu di bawah pengurusan DBKK,” kata kenyataan itu.
DBKK berkata, mulai 1 Oktober 2025, semua pengusaha yang terbabit dilarang menggunakan polisterin sebagai bahan pembungkusan makanan dan minuman, serta tidak dibenarkan menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.

Terdahulu, satu sesi libat urus dianjurkan DBKK berkaitan Kempen Pengurangan Penggunaan Polisterin dan Penyedut Minuman Plastik di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, pada 06 Jun lalu.
Sesi libat urus itu disertai 135 peserta terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Kedai Kopi, Persatuan Penjaja, pengurusan pusat beli-belah dan pengusaha plastik.
Ia dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon dan turut dihadiri Setiausaha Rendah (Sektor Pembangunan), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Johnny Samson, serta wakil dari SIRIM Sabah, Herric Evans.
Pada sesi itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK Leong Tze Fui membentangkan taklimat mengenai kempen berkenaan, termasuk objektif dan hala tuju pelaksanaannya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ