KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan kehadiran populasi buaya di dua di Sungai Darau dan sungai berhampiran Depoh DBKK, di sini.
Menerusi laporan dikeluarkan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi DBKK, hari ini, kehadiran reptilia itu dikesan menerusi operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandar raya ini pada 19 hingga 20 Ogos lalu.

“Hasil pelaksanaan operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Ogos lalu berjaya mengesan dua lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya iaitu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh DBKK,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, katanya pemantauan menggunakan bot dan dron merumuskan jumlah populasi buaya di bandar raya ini adalah terkawal.

Katanya, operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan bagi memantau populasi hidupan luar berkenaan di sekitar bandar raya ini.
“Operasi selama dua hari ini melibatkan seramai 65 anggota Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya yang dianggotai DBKK, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Taman-Taman Sabah.
“Operasi bermula jam 8 pagi hingga 10 malam berpusat di Jeti Taman Cycleway Phase 3 berhadapan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah selain turut meliputi kawasan Taman Awam Teluk Likas I, Sungai Darau-Kalansanan dan Bengkel Depoh, DBKK,” katanya.

Jelasnya, operasi itu adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk daripada ancaman hidupan liar.
DBKK turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar bandar raya ini supaya membuat laporan segera kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.
Talian Kecemasan Kebangsaan: 999; PDRM: 088-529222; Balai Bomba Kota Kinabalu: 088-210214 / 019-2445687; Jabatan Hidupan Liar (JHL): 088-213502; Angkatan Pertahanan Awam Sabah: 088-232440 dan Angkatan Pertahanan Awam Kota Kinabalu: 088-232453. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ