GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad berkata beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung penyebaran poster palsu meminta derma untuk membayar kos saman fitnah dikemukakan oleh pemimpin DAP.
Dalam poster tular itu, sayap wanita PAS Pulau Pinang didakwa kononnya meminta derma orang ramai untuk membantu menampung “kos pengurusan untuk pembelaan awal Mastura yang dijangka melebihi RM30,000.”
“Kami akan menyerahkan kepada peguam kami untuk membuat keputusan,” kata Mastura kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau dan sayap wanita PAS Pulau Pinang akan membuat laporan polis mengenai poster palsu itu.
Sayap wanita PAS Pulau Pinang juga mengeluarkan kenyataan pada Ahad menafikan ia mengeluarkan poster itu. Mastura ialah timbalan ketua sayap.
Pada 29 Nov, Penasihat DAP Lim Kit Siang, pengerusi parti Lim Guan Eng dan naib pengerusi parti Teresa Kok memfailkan saman fitnah berasingan terhadap Mastura kerana mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan mendiang perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew .
Dalam saman yang difailkan oleh Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 21 Nov, ketiga-tiga pemimpin DAP itu menuntut ganti rugi libel dan fitnah terhadap Mastura kerana merosakkan reputasi mereka.
Ketiga-tiga mereka juga mahu Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi menghalang Mastura daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang sama atau serupa.
Mastura didakwa membuat kenyataan itu pada ucapan di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ