PPM Sandakan tahan lelaki bersama dadah

Seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam operasi di Kampung Tinusa 2, di sini, semalam.

Dalam operasi awal pagi itu, lelaki warga Filipina berusia 36 tahun terbabit ditahan bersama dadah jenis methamphetamine.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan pihaknya.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu paket plastik kecil lutsinar berisi hablur jernih dan dua lipatan kertas timah disyaki dadah jenis syabu.

“Nilai rampasan dalam operasi ini dianggarkan sebanyak RM200 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0132831197.

Katanya, ia bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – Asia Times