KOTA KINABALU: Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) berhubung bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah boleh dibincang bila-bila masa.
Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata GRS tidak terburu-buru untuk mengadakan perbincangan memandangkan kedua-dua pihak ada hubungan yang baik.
Jelasnya, apa yang penting kerjasama itu bertujuan untuk memastikan kestabilan politik di Sabah dapat diwujudkan demi kemajuan berterusan negeri ini.
“Kita tidak terburu-buru, kita ada hubungan baik dengan PH, jadi bila-bila masa kita boleh bincang. Apa yang penting ialah kestabilan politik, itu tujuan utamanya.
“Bagaimana untuk capai itu, semua parti perlu meletakkan Sabah sebagai keutamaan atau ‘Sabah First’, barulah ada kestabilan politik,” katanya.
Beliau ditemui media pada Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025: Koridor
untuk Mengubah Visi Kepada Realiti (SAREC 2025), di sini, hari ini.
Masidi berkata, Sabah memerlukan kestabilan politik untuk memastikan ekonominya terus berkembang dan maju bagi memberi kemakmuran kepada rakyat dan negeri.
“Banyak perbandingan di antara Sabah, Sarawak dan negeri lain dan kita perlu faham Sarawak makmur kerana mereka ada kestabilan politik sejak dari hari pertama lagi.
“Mereka (Sarawak) baru ada enam Ketua Menteri (Premier) setakat ini, tapi kita (Sabah) sudah ada 16 Ketua Menteri, ia menjelaskan tahap kestabilan politik yang menjauhkan Sabah dari tumpuan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Mengenai rundingan dalam kalangan lapan parti komponen GRS, Masidi yang juga Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata perkara itu masih dibincangkan semua presiden parti.
Beliau bagaimanapun yakin, cabaran agihan kerusi dalam GRS dapat diatasi walaupun mengakui sukar untuk memenuhi kehendak setiap parti yang mahukan sebanyak mungkin kerusi untuk ditandingi. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad