Madius (duduk barisan tengah), Zainab, Hj Wan Mohamad Nasir serta para pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah bergambar bersama para alumni serta pelajar selepas majlis perasmian Program Alumni Profesional Talk: Our Proud Alumni @ POLYCC Zon Sabah 2019.
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) JPPKK, mengadakan Program Alumni Professional Talk: Alumni Proud @ PolyCC Zon Sabah 2019 di sini, semalam.
Program anjuran bersama Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah itu melibatkan seramai 90 orang pelajar semester akhir dan 10 alumni dari Politeknik Kota Kinabalu dan empat buah Kolej Komuniti, iaitu Kolej Komuniti Penampang selaku tuan rumah program, Kolej Komuniti Tambunan, Kolej Komuniti Kota Marudu dan Kolej Komuniti Beaufort.
Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah, Ts. Zainab binti Othman berkata program ini bertujuan untuk memperkasakan program-program Alumni Politeknik dan Kolej Komuniti khususnya di zon Sabah bagi mengekalkan jalinan perhubungan sepanjang hayat yang konsisten di antara alumni, pelajar dan institusi.
Zainab, yang juga Pengarah Politeknik Kota Kinabalu berkata, Program Alumni Professional Talk ini juga merupakan sebuah program yang menghubungkan Persatuan Alumni dengan Politeknik dan Kolej Komuniti, disamping bertindak sebagai platform untuk berkongsi kejayaan alumni di setiap institusi, seterusnya meningkatkan imej dan prestasi institusi.
Bertemakan 3R – Relive, Reconnect, Rejoice ini melibatkan alumni yang berjaya dari Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah bagi memberikan perkongsian pengalaman dan bimbingan kepada pelajar dalam membina kerjaya sama ada di dalam atau di luar bidang, serta peluang dan cabaran untuk menjadi seorang yang berjaya.
Antara pengisian program adalah forum bersama alumni jemputan dari Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Komuniti Penampang, Tambunan, Kota Marudu dan Beaufort.
Dengan mensasarkan pelajar semester akhir, forum ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan membuka minda pelajar tentang alam pekerjaan dan sikap serta pemikiran yang sepatutnya ada pada setiap graduan agar tidak mengamalkan sikap terlalu memilih pekerjaan yang secara tidak langsung menyebabkan kadar pengangguran di kalangan mahasiswa yang tinggi.
Majlis Perasmian Program Alumni Profesional Talk: Our Proud Alumni @ PolyCC Zon Sabah 2019 disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri Sabah, bertempat di Hotel Pan Borneo, Putatan.
Turut hadir, Pengarah Bahagian BAPP JPPKK, Haji Wan Mohamad Nasir bin Wan Abdul Rahman serta pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara