Program ‘Finishing School’ persiap bakal graduan UMS Hadapi Cabaran Alam Pekerjaan

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan ProgramTamat Pengajian (Finishing School) setiap tahun bagi mempersiapkan bakal graduan mendepani cabaran alam pekerjaan.

Dekan FPEP UMS, Prof. Datuk. Dr. Hj. Kasim Mansur berkata, melalui program tersebut pelbagai aktiviti dilaksanakan ke arah melahirkan graduan yang berketrampilan dan berdaya saing.

“Program ini antara lain memberi pendedahan kepada semua pelajar terhadap isu kerjaya dan cabaran-cabaran yang akan ditempuh apabila memasuki dunia pekerjaan.

“Di samping itu, ia bagi memberi panduan persiapan yang perlu dibuat untuk menyediakan fizikal dan mental apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Kasim, tahun ini program itu telah dimulakan sejak April lalu dan akan diadakan secara berterusan.

“Penganjuran program sebegini sememangnya mampu memberi nilai tambah kepada graduan agar lebih berkeyakinan dan profesional bagi tujuan kebolehpasaran,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa FPEP UMS, Maslina Saiba berkata, Program Finishing School memberi manfaat yang besar kepada semua bakal graduan.

“Hala tuju yang jelas dapat dibentuk agar pelajar mampu menghadapi situasi selepas tamatnya pengajian untuk bersaing dengan graduan yang lain.

“Seperti yang pelajar sedia maklum, persaingan dalam kebolehpasaran graduan adalah tinggi. Oleh itu, pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi situasi tersebut.

“Kemahiran-kemahiran ini membantu pelajar menjadi individu yang lebih versatile dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *