Gambar Hiasan
BEAUFORT, 13 Sept (Bernama) — Program pemulihan dan aktiviti kemasyarakatan melibatkan individu yang pernah terjebak dengan najis dadah dilihat mampu memberikan suntikan semangat untuk kembali ke pangkal jalan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort Insp. Ng Chai Sing berkata program bertemakan ‘We Love, We Hope, We Care’ (LHC) bukan setakat memberi motivasi tetapi juga peluang kedua kepada peserta untuk menambah baik diri tanpa paksaan.
“Peserta LHC adalah terdiri daripada Orang Kena Pengawasan (OKP) dan sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti melibatkan tiga fasa akan diadakan antaranya membuat kerja amal di rumah orang-orang tua, orang kurang upaya dan rumah ibadat.
“Selain itu, latihan kemahiran juga akan diberikan untuk meningkatkan kemahiran dengan kerjasama pihak yang berkaitan dan seterusnya diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan. Pada masa sama mereka juga diberikan motivasi agar mampu berdepan dengan masyarakat,” katanya kepada Bernama.
Ng yang juga Ketua Program LHC, berkata program itu diperkenalkan pada Disember 2016 dan kini mempunyai hampir 100 peserta selain turut mendapat kerjasama daripada Agensi Antidadah Kebangsaan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia dan Majlis Daerah Beaufort.
Sementara itu, seorang peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Miss Red, 21, mengakui program LHC telah memberinya semangat untuk memajukan diri selepas tiga kali ditangkap kerana najis dadah.
Katanya program itu banyak memberi kesedaran kepada dirinya untuk menjauhi dadah yang telah menyebabkan hidupnya kucar-kacir.
“Ini kali ketiga saya ditangkap kerana kes menagih dadah. Pertama kali ketika berumur 17 tahun, kali kedua pada usia 19 tahun tapi saya bersyukur kerana tidak dipenjarakan.
“Kini saya mahu hidup tenang malah program ini telah memberi peluang kedua kepada insan seperti saya untuk berubah kerana setiap orang pastinya pernah melakukan kesilapan dalam hidup,” katanya yang mula menagih pada usia 17 tahun.
Bagi Along, 33, ayah kepada tiga cahaya mata, program itu memberinya perspektif baharu dalam hidup malah berasa kesal kerana terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Berasal dari daerah Papar, bekas penjawat awam itu mahu melupakan sejarah hitam dalam hidupnya dan kini berusaha memulakan perniagaan bersama isterinya.
“Walaupun ada segelintir masyarakat memandang serong terhadap kami tetapi pihak berkuasa sentiasa memberi semangat agar sentiasa positif dan sabar dengan ujian,” katanya.
–BERNAMA
More Stories
Kastam Sabah rampas dadah RM2.5 juta ‘dikirim’ melalui kurier
Kanak-kanak autistik hilang di Tamparuli masih belum ditemui
Liga Super : Sabah FC gagal akhiri kempen dengan kemenangan