PROKLAMASI DARURAT HANYA KEPADA SELAMATKAN KEDUDUKAN PM, KATA EWON

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berpendapat bahawa spekulasi proklamasi darurat, jika dilaksanakan, lebih bersifat menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri.

“Betul, kita akui situasi penularan wabak Covid-19 sangat membimbangkan terutamanya di Sabah. Penularan ini meningkat begitu mendadak sekali selepas pilihanraya negeri dan kita semua tahu punca pilihanraya tersebut terpaksa diadakan.

“Bagaimanapun, menggunakan Covid-19 sebagai justifikasi bagi mengisytiharkan perintah darurat hanya menunjukkan kelemahan Kerajaan kerana kita sudah mempunyai peraturan berkaitan yang boleh digunakan iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang sedangpun digunakan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

“Jika betul Perdana Menteri betul-betul serius menangani penularan wabak Covid-19 ini berbanding menyelamatkan kedudukan beliau, maka beliau boleh membentuk kerjasama melibatkan semua parti politik dalam Kerajaan sekaligus melenyapkan krisis politik di Dewan Rakyat yang beliau bimbangkan,” katanya.

“Dari segi politik, proklamasi darurat memberi mimpi ngeri kepada Sabah kerana beberapa pindaan perlembagaan dan undang-undang dibuat sepanjang tempoh proklamasi darurat tersebut seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 di mana Sabah telah kehilangan hak ke atas sumber gas dan minyak buat selama-lamanya,” katanya.-http://beritasabah.com