PRU15: Pesakit diabetes sanggup hadir kempen, nyatakan sokongan kepada PH di Tuaran

TUARAN: Seorang pesakit diabetes sanggup hadir memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen P170 Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada kempen yang diadakan di sini, pada Ahad.

Peter Lansui, 59, hadir penuh semangat walaupun mempunyai keterbatasan pergerakan demi menyatakan keinginan perubahan pada tampuk kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya ingin melihat Kiulu ini membangun¬† terutama dari segi jalan-jalan perhubungan yang nampaknya tidak menunjukkan sebarang kemajuan sejak dua tahun yang lalu.

“Yang saya tahu, hanya satu sahaja jambatan konkrit yang dibina di kawasan Pukak sedangkan beberapa perkara telah dijanjikan oleh kerajaan memerintah sekarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 2020,” katanya ketika ditemui pada kempen tersebut.

Ujar Peter, pembangunan di negara ini khususnya di Sabah hanya boleh dicapai sekiranya pucuk kepimpinan diubah.

Katanya, terdapat bekas pemimpin negara yang telah didakwa malah ada juga pemimpin yang sedang dalam proses perbicaraan akibat salah guna kuasa dan rasuah.

“Jadi pada PRU15 inilah satu-satunya peluang untuk merombak kepimpinan negara dengan memilih calon yang tepat untuk menerajui pucuk kepimpinan.

“Kita tolak pemimpin rasuah, kita angkat kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10.

“Sekiranya beliau tidak menepati apa yang kita mahukan, apa susah, kita tukar balik pada lima tahun akan datang, kuasa di tangan rakyat,” katanya yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).